Perkongsian Dakwah

Baru-baru ini salah seorang daripada ahli GAPSS telah menghadiri Seminar Kefahaman Islam (maaf, tidak dinyatakan anjuran siapa) di UIAM Gombak, dan beliau telah merakamkan segala pengalaman dan perkongsian ilmunya di blognya. Berikut adalah artikel mengenai seminar tersebut.




Beberapa hari kebelakangan ini, saya sedikit sibuk dengan permulaan semester yang baru. Walaupun baru minggu pertama semester pendek di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini, disebabkan ianya ‘semester pendek’ (hanya mempunyai masa 7 minggu), maka tempoh masa kuliah menjadi dua kali ganda berbanding sebelumnya. Lebih-lebih lagi mengambil dua core subjects yang semestinya tidak ringan untuk dihadapi.


Walaupun demikian, Allah SWT tetap mengurniakan kepada diri yang lemah ini kesempatan demi kesempatan untuk terus menimba ilmu di luar bilik kelas. Sesampainya sahaja di kampus Petaling Jaya, malamnya ada kuliah mingguan kitab hadis Riyadh as-Solihin oleh Ustaz Abdul Hamid di Masjid Kolej Islam Malaya. Rabu yang lalu pula, kuliah akidah di masjid yang sama oleh Ustaz Mohd. Ali Tuah.


Dari kiri: Ustaz Abdul Hamid, Ustaz Mohd. Ali Tuah

Demikian juga majlis talaqi pada Khamis yang lalu. Amat merindui gema suara pencinta-pencinta ilmu melantunkan qasidah memuji Rasulullah SAW (lebih elok daripada berbual kosong dengan sahabat tanpa manfaat atau mendengar lagu-lagu yang lagha) sementara menunggu kedatangan Ustaz Muhadir. Amat merindui kata-kata yang keluar dari lidah Ustaz Muhadir: cukup tenang, fasih dan mudah difahami dengan gaya yang lebih bernada kasih sayang.


Di UIAM Gombak

Secara jujurnya, ini kali ketiga saya ke UIAM Kampus Gombak. Namun, setiap kali berada di sana, saya merasakan suasana dan ‘angin’ persekitaran yang berbeza. Untuk kali yang ketiga ini, saya datang untuk memenuhi undangan naqib untuk hadir ke Seminar Kefahaman Islam. Suatu kesempatan yang tidak boleh saya lepaskan, kerana mungkin ini salah satu cara untuk memantapkan lagi uslub dakwah.

Bertolak pada pukul 8.30 pagi bersama Muaz, suatu waktu yang masih awal. Namun, untuk tidak tiba lewat di sana, maka bertolak awal adalah jalan yang terbaik, lebih-lebih lagi jika kesesakan jalan raya berlaku di luar jangkaan.

Walaupun dinamakan seminar Islam, tetapi ia sebenarnya adalah daurah antara anak-anak usrah, sebagai suatu refresh terhadap topik-topik yang telah dibincangkan di dalam usrah-usrah mereka yang lalu. Topik yang menjadi fokus utama dalam daurah ini ialah ‘Takabur dan Sombong’ dan ‘Pemuda Islam’.


Tajuk 1: Gagal Membuang Ego Punca Segala-galanya

Topik pertama yang dibentangkan ialah mengenai sombong dan takabur. Mungkin ramai yang akan tersilap sangka, takabur dan sombong membawa makna yang sama. Sebenarnya, takabur merujuk kepada sifat di dalam hati, dan sifat itu dizahirkan melalui sombong.

Dalam membentangkan tajuk tersebut, pembentang telah memetik kata-kata Almarhum Kiai Haji Rahmat Abdullah, seorang pendakwah dari Indonesia, dengan kata-kata (lebih kurang berbunyi):

“Ada orang yang beramal besar, selalu diingatinya dan juga disebut-sebutnya. Ada pula orang yang beramal sedikit, tetapi mendakwa banyak amalnya. Ada juga orang yang langsung tidak beramal, tetapi menyangka dirinya telah beramal. Lebih malang, dia mengatakan amalan orang lain tidak betul.”

Mendengar petikan kata-kata Kiai Haji Rahmat itu, hati saya tiba-tiba tersentuh. Ya, seringkali kita melihat perkara sedemikian berlegar-legar dalam masyarakat kita. Mengabaikan perkara dan ibadat pokok, sebaliknya memperkatakan perkara cabang dan mengejar amalan sunat. Lebih bahaya, menyangka dirinya benar sehingga merendah-rendahkan orang lain. Mungkin juga perkara sedemikian berlaku ke atas diri kita (yang seringkali kita terlupakan).


Ya, itulah takabur. Batrul haqq waghamtu an-nas. Menolak kebenaran, dan merendah-rendahkan orang lain. Binasanya Firaun dan kaum-kaum terdahulu kerana takabur mereka, enggan menerima risalah tauhid yang dibawa oleh rasul mereka. Celakanya Abu Lahab dan isterinya kerana takabur, enggan tunduk kepada kalimah La ilaha illallah dek besarnya makna kalimah tersebut ke atas kehidupan manusia.

Laknatnya Iblis kerana enggan sujud tanda hormat kepada Adam AS. Begitu sombong dengan asal kejadiannya yang didakwanya lebih baik dan mulia daripada tanah. Walhal Allah SWT sendiri menjamin manusia adalah sebaik-baik kejadian.


Kerana takabur, kebenaran begitu payah untuk masuk ke dalam hati. Kerana takabur, hati menjadi buta. Kerana takabur, tiket kegagalan dan kebinasaan datang bergolek. Kerana takabur juga, kita menjadi makhluk yang paling hina di sisi Allah SWT dan diharamkan daripada mendapat Syurga-Nya. Walaupun hanya takabur sebesar biji sawi.

Malah, lebih membahayakan, daripada takabur, lahirnya sifat-sifat mazmumah lain. Daripada takabur, seseorang yang asalnya tenang menjadi pemarah, peramah menjadi kurang mesra, berakhlak baik menjadi berakhlak buruk. Semuanya kerana takabur.

Malah, tidak mustahil, perpecahan di dalam umat, dalam perkara furu’ dan khilaf, juga berpunca daripada ego dan takabur. Enggan menerima keluasan pendapat dan berlapang dada atas khilaf. Masing-masing dilihat kononnya teguh atas prinsip, padahal sebenarnya hatinya ego akalnya enggan mengiktiraf rahmat Allah SWT. (Ya, khilaf adalah rahmat Allah). Tidak kira mana-mana pihak. Sehingga menyebabkan umat Islam bertelagah begitu teruk, seolah-olah tiada jalan keluar.



Kalaupun benar kita melihat diri mereka tersasar dari jalan yang benar, adakah elok dengan kita meletakkan label-label tertentu ke atas diri mereka, hatta menafikan hak mereka sebagai muslim? Walhal sudah menjadi tanggungjawab untuk membetulkan yang salah. Adakah itu yang diajar oleh Nabi dan para ulama? Menjauhi mad’u kerana kesilapan yang boleh dibetulkan?


Tajuk 2: Pemuda Islam yang Diharap-harapkan

Tajuk pembentangan yang kedua ialah mengenai pemuda Islam. Mungkin ada yang sudah muak dan jemu dengan tajuk sebegini. Namun, inilah perkara yang perlu diambil cakna oleh setiap orang, khususnya para da’i dalam mengembalikan kegemilangan Islam. Pemudalah pengganti barisan kepimpinan, bakal membawa ummah ke suatu hala tuju, sama ada ke arah kemajuan atau kemunduran, bergantung dengan kualiti pengganti tersebut.

Saya begitu kagum dengan pembentangan tersebut. Apa yang boleh saya sifatkan: lain daripada lain. Tidak hanya sekadar membincangkan kualiti yang ada pada pemuda harapan ummah, tidak hanya mengajak hadirin untuk berfikir dan bermuhasabah, tetapi juga menceritakan kisah-kisah pemuda pada zaman Rasulullah SAW, generasi Salafussoleh.

Mendengar kisah pemuda yang hanya baru melangkah ke alam remaja syahid di medan Badar, kisah kecekalan Asma’ binti Abu Bakr membantu perjuangan Rasulullah SAW, kehebatan Zaid ibn Thabit sebagai jurutulis wahyu Rasulullah SAW, terasa diri ini begitu kerdil jika dibandingkan dengan mereka. Juga kagum pada kehebatan yang telah mereka sumbangkan pada usia yang begitu muda. Selama ini hanya menyangka mereka orang dewasa yang sudah punya anak yang banyak (maka memang patutlah mereka hebat).

Ya, saya kagum dengan gaya dan isi yang disampaikan oleh pembentang. Tidak hanya tahu bercakap, tetapi juga menjadi contoh. Tidak hanya tahu berteori, tetapi juga mahir berpraktikal. Malah, pembentang dengan berjaya menonjolkan ikon-ikon remaja dari generasi Salafussoleh, suatu langkah yang perlu diambil cakna dan dicontohi.

Para remaja perlu dibentuk dengan acuan yang telah digunapakai oleh Rasulullah dan generasi Salafussoleh. Acuan yang terbukti berkesan melahirkan generasi yang terbaik. Lahirnya ulama-ulama silam adalah hasil acuan yang sama digunakan oleh para ibu bapa ketika itu. Dari kecil sehinggalah ke alam dewasa, dibiasakan dengan al-Quran dan Sunnah sebagai budaya, dan Rasulullah serta para Sahabat sebagai ikon terbaik.

Bukan bermakna, remaja yang ingin berubah tiada peluang untuk menjadi seperti mereka. Maha pengasihnya Allah SWT, Dia sentiasa memberikan peluang kedua untuk melakukan perubahan ke atas diri seseorang. Terletak pada pilihannya untuk memilih jalan yang terbaik atau sebaliknya.


(Insya-Allah, tulisan ini bersambung dalam artikel seterusnya).




Tiada ulasan:

Catat Ulasan