Musibah bencana: antara keinsafan dengan simpati

Oleh: Lukhman Abdul Taib
lukhman.taib@yahoo.com.my







Kejadian tsunami yang menimpa negara Jepun beberapa hari yang lalu menggegarkan dunia buat kali kedua. Disifatkan sebagai tsunami yang terburuk dengan gegaran gempa bumi berukuran 8.9 skala Ritcher, tsunami tersebut dalam sekelip mata memusnahkan segala ciptaan manusia yang berdekatan.

Terlalu banyak hikmah yang dapat kita perhatikan dan ambil iktibar setiap kali berlakunya bencana alam yang memusnahkan kehidupan sebahagian insan di muka bumi. Banyak udang banyak garam, demikianlah manusia: banyak orang banyak ragamnya.

Kegagalan untuk memahami dan mengambil iktibar merupakan salah satu petanda butanya hati kita. Sebagaimana firman Allah SWT:


“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (Surah al-Hajj ayat 46)



Insaf dengan azab atas golongan yang ingkar

Antara sebab Allah SWT menurunkan bala bencana ke atas sesuatu kawasan ialah mungkin disebabkan penduduk di kawasan itu kufur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka. Cukuplah sejarah menjadi bukti, betapa ramai kaum yang telah Allah binasakan atas kekufuran mereka.

Allah SWT telah menurunkan banjir besar kepada kaum Nabi Nuh AS. Tiada seorang yang terselamat kecuali yang beriman. Demikian juga, Allah SWT menurunkan kemarau dan ribut kepada kaum ‘Ad, hujan batu kepada kaum Nabi Lut AS, dan gempa bumi kepada kaum Nabi Ibrahim dan Nabi Syuaib.

Tidak ketinggalan, tinggalan Laut Mati dan peristiwa Firaun dan tenteranya ditenggelamkan oleh Laut Merah, bukti balasan azab Allah SWT ke atas kaum yang ingkar dan kufur, sejak di dunia lagi.

Peristiwa tsunami yang ‘membantai’ sebahagian kawasan di Jepun, merupakan salah satu tanda kebenaran Al-Quran yang diturunkan 1400 yang lalu. Begitu tepat Allah SWT gambarkan bentuk-bentuk kemusnahan, seperti firman-Nya:


“Maka bukan sedikit negeri-negeri yang kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan).” (Surah al-Hajj ayat 45)

Namun, jika kita renungkan sejenak, kenapa Allah SWT tunjukkan semua ini kepada kita? Kenapa Allah SWT pelihara mayat Firaun yang begitu bongkak mengaku dirinya Tuhan, dalam keadaan yang begitu hina? Mengapa Allah SWT jadikan Laut Mati? Bukankah lebih elok Allah SWT musnahkan kesemuanya, tanpa perlu kita menyaksikan kesan-kesannya?



Semuanya adalah kerana rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada kita. Suatu peluang untuk kita insaf dan kembali ke pangkal jalan setelah terbabas di pertengahan. Firman Allah SWT:


“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu.”” (Surah Al-An’am ayat 11)


Mensyukuri nikmat

Kerana itulah, Syeikh Ibnu ‘Ataillah As-Sakandari menyebut di dalam Al-Hikam: “Siapa yang tidak mensyukuri nikmat Tuhan maka bererti berusaha untuk hilangnya nikmat itu. Dan siapa yang mensyukuri nikmat bererti telah mengikat nikmat itu dengan ikatan yang kuat dan kukuh.”

Dalam menghuraikan kata-kata Ibnu ‘Athaillah, Syeikh Zarruq mengulas: “Tidak bersyukur adalah jaminan bagi merampas dan mengganggu hati dan mengundang kemurkaan Tuhan.”

Kerana itulah, bersyukur terhadap nikmat yang diturunkan Allah SWT membawa kepada kekal dan bertambahnya nikmat. Sebaliknya sikap tidak bersyukur hanya mengundang bala dan menyebabkan hilangnya nikmat itu daripada milik kita. (Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri,Syarah Al-Hikam)



Firman Allah SWT:


“Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku (Allah) akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim ayat 7)


Keperluan kepada tajdid akhlak

Beberapa hari selepas kejadian tsunami, negara kita digemparkan dengan penyiaran karikatur dalam sebuah media cetak terkemuka negara. Ilustrasi yang disiarkan tidak sedikit pun menunjukkan simpati terhadap nasib rakyat negara matahari terbit itu. Hanya setelah mendapat kecaman daripada berbagai-bagai pihak, barulah pihak media cetak itu mengeluarkan kenyataan maaf kepada umum.

Begitu mengaibkan, isu ilustrasi ini tersebar luas hingga ke peringkat antarabangsa.

Sebelum itu pula, sebulan yang lalu negara digemparkan dengan berita lori beras yang terbabas dan terbalik di tepi lebuh raya. Yang mengejutkan, orang ramai yang berada di tempat kejadian berpesta mengutip beras di tepi lebuh raya, membiarkan pemandu lori mengerang kesakitan. 

Lebih tragis, membiarkan kelindan lori mati di tepi jalan.

Ke mana perginya budi dan akhlak kita? Adakah kita juga mengalami tsunami ‘akal dan budi’?



Tidakkah dalam sejarah, Rasulullah SAW berdiri apabila jenazah seorang Yahudi melalui Baginda dan para Sahabat? 

Pernahkan wujud di dalam sirah Rasulullah SAW membuat jenaka ke atas musibah yang menimpa orang bukan Islam? Tidak, bukan?

Ingatlah, Syeikh Ibnu ‘Athaillah pernah menyebutkan: “Sebahagian tanda matinya hati ialah tidak berasa sedih kerana tertinggalnya suatu amal kebaikan, juga tidak menyesal jika terjadi sesuatu perlanggaran dosa.” (Ibnu ‘Athaillah, Al-Hikam)

Maka, sudah tibanya masa untuk kita melakukan suatu reformasi total: ke atas diri kita, ke atas pemikiran kita, ke atas masyarakat kita, ke atas semua. Kita tidak hanya memerlukantajdid iman, tajdid amal dan tajdid fikrah sahaja, malah kita juga memerlukan tajdid akhlak.

Dan tajdid yang dilakukan haruslah selari dan sesuai dengan apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, dengan menjadikan Rasulullah SAW dan generasi salafussoleh sebagai model ikutan terbaik sepanjang zaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan