Usah jadikan cinta suatu musiman

www.murabbi.net
Dihantar Oleh: Lukhman Abdul Taib
Editor: KAKLONG




Ketegangan isu kedudukan Hari Ibu di dalam Islam menerusi alam maya, tidak sedikit pun mempengaruhi masyarakat. Suara-suara sumbang oleh segolongan manusia yang mengaku membawa ajaran Islam yang tulen, tidak sedikit pun mengubah pendirian masyarakat, sebaliknya kaum ibu terus diraikan.


Tidak seperti mana isu Maulidurrasul, perbincangan dan polemik mengenainya sedikit sebanyak mendatangkan impak ke atas masyarakat.


Walaupun ini merupakan petanda baik bahawa masyarakat mulai punya kesedaran terhadap agama, dari sudut yang lain isu tersebut telah memecah belahkan kesatuan masyarakat. Masyarakat mulai tersasar fokus, perhatian mereka mula beralih kepada perkara-perkara furu’.


Fokus utama kita

Tidak seharusnya bagi golongan penuntut ilmu untuk membahaskan secara ‘serius’ mengenai isu yang furu’ seandainya perbahasan tersebut hanya membawa mafsadat yang lebih teruk ke atas ukhuwwah.

Akibatnya, umat terpaksa menanggung kesan perpecahan akibat ‘kesombongan’ dan ‘keangkuhan’ golongan penuntut ilmu. ‘Keangkuhan’ yang lahir akibat daripada perasaan riak dan takabbur atas ilmu yang sedikit.

Seharusnya, apa yang menjadi pokok perbincangan bukanlah status bid’ah atau tidak bid’ahnya Hari Ibu. Bukan juga status bid’ah atau tidak bid’ahnya menyambut Maulidurrasul.

Kerana itu semua punya perbincangan dan perbahasan yang panjang dalam kalangan para ulama. Terpulang kepada mana-mana individu untuk memilih pandangan yang terkuat buatnya, kerana setiap pihak mematuhi dan bersandar kepada nas-nas yang suci.

Sebaliknya, golongan yang diharapkan menjadi pemimpin negara di masa akan datang ini, seharusnya duduk berbincang dan memikirkan jalan untuk menjadikan remaja lebih akrab dengan keluarga seiring dengan meningkatnya usia mereka, bukannya menjarakkan mereka.

Juga, memikirkan cara bagaimana untuk memupuk rasa cinta dan mahabbah ke atas junjungan yang mulia, Rasulullah SAW serta generasi salafussoleh. Mencari jalan bagaimana untuk mengeluarkan mereka daripada rasa cinta kepada dunia dan bencikan kematian.


Pertama: ‘Si Tanggang Moden’

Alangkah sedihnya, melihat rakan-rakan remaja yang asalnya begitu akrab dengan keluarga, berubah 180 darjah. Daripada menjadi ‘anak mak’ dan ‘anak bapak’, akhirnya meminggirkan nasib ibu bapa mereka di bawah teratak yang buruk. Tidak sedikit pun terdetik untuk mengambil berat kepada mereka.

Ada pula jenis anak yang hanya mengirimkan wang saku kepada ibu bapa, bukannya mengirimkan empunya diri. Suatu sogokan kepada ibu bapa untuk tidak terus ‘mengganggu’ hidup mereka.



Lebih memilukan, si anak sanggup menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan daripada mengajak mereka tinggal bersama di rumah si anak. Seolah-olah, si anak cuba memberitahu secara tidak langsung, “Mak, ayah, kalau mak ayah tinggal kat rumah nanti hanya menyusahkan saya!”

Alangkah sedihnya, melihat rakan-rakan kita secara tidak langsung menjadi anak derhaka. Trend ‘Si Tanggang Moden’ kini menjalar dalam kalangan remaja yang sudah melangkah ke alam dewasa.

Mungkinkah mereka tidak mengetahui akan azab Allah SWT ke atas anak derhaka, atau terdapat suatu perasaan dendam kesumat di dalam hati lantaran mendapat ‘didikan’ yang kasar lagi bengis yang tidak seharusnya diberikan oleh ibu bapa?

Walaupun tidak dididik dengan sebaiknya sebagaimana yang dianjurkan syarak, itu bukanlah tiket untuk menghalalkan seseorang untuk derhaka kepada ibu bapa.

Firman Allah SWT:

“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqman, ayat 15)

Lupakah kita kepada keperitan yang ditanggung seorang ibu? Keperitan mengandungkan anak, keperitan dan kesakitan yang harus ditanggung ketika melahirkan? Kesusahan demi kesusahan seorang ibu harus tempuhi demi membesarkan si anak?

Tidakkah kita terfikir, cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi oleh si bapa? Cabaran untuk mencari nafkah demi sesuap nasi untuk keluarga? Dugaan yang perlu dilalui untuk memastikan kelangsungan si anak? Keletihan demi keletihan yang terpaksa dipikul demi memastikan si anak terus hidup sebagai manusia?


Kedua: Sikap umat masa kini ke atas Rasulullah SAW

Perbincangan mengenai Maulidurrasul tidak terhenti pada tarikh dan perihal kelahiran Rasulullah SAW. Namun, apa yang membimbangkan, perbincangan mengenai kedudukan perayaan Maulidurrasul telah bertukar menjadi medan bid’ah-membid’ah sesama umat Islam.

Namun, apa yang tidak mereka sedari, umat Islam sudah mulai luntur rasa kecintaan terhadap Kekasih Allah. Saban hari, mereka menjadi semakin ‘bakhil’: tidak mahu berselawat terhadap Rasulullah SAW apabila disebutkan nama Baginda.

Ada pula yang bijak menuturkan rasa cinta kepada Baginda di lidah, namun sebenarnya di hatinya langsung tidak terbit bibit-bibit kecintaan yang disebut-sebutkan. Anggota zahirnya jelas memberitahu bahawa apa yang dikatakannya tidak lain hanyalah topeng kemunafikan.



Kadangkala, ada golongan yang begitu bersemangat meraikan Maulidurrasul, sebagai bukti cinta kepada Nabi SAW. Namun, sebaik sahaja berakhir sambutan Maulidurrasul, cinta itu juga turut berakhir di situ.

Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan umat Islam sendiri, meriah merayakan perayaan orang kafir, tetapi tidak pernah meraikan perayaan umat Islam. Jemputan Krismas dipenuhi, sedangkan undangan ke majlis Maulidurrasul tidak dilayan!


Cinta bukan bersifat musiman

Kita bukan membangkang sambutan hari Ibu atau Maulidurrasul atau mana-mana Hari sekalipun, tetapi jangan jadikan rasa cinta dan kasih sayang itu sesuatu yang bersifat musiman.

Apabila tiba Hari Guru, misalannya, kita tunjukkan kasih sayang kita kepada guru-guru kita. Namun, pada hari lain, tidak pula kita tunjukkan sedemikian rupa. Malah, lebih teruk ada yang bersikap biadap di hadapan guru.

Cinta dan kasih sayang adalah suatu perasaan yang suci, fitrah semula jadi di dalam diri manusia. Tidak boleh dipaksa hadir pada waktu tertentu. Cinta bermusim hanyalah cinta yang palsu. Kasih sayang bermusim juga hanyalah kasih sayang imaginasi semata-mata.

Sebaliknya, cinta yang hakiki ialah cinta yang berkekalan hingga ke Hari Akhirat. Tidak terputus atau terhenti di dunia.



Untuk memperolehinya, hubungan yang dijalinkan perlulah didasari dengan dasar keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib, setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Surah Az-Zukhruf: ayat 67)

Juga, cinta bukan hanya berlegar di lidah semata-mata, tetapi perasaan tersebut perlulah hadir di hati terlebih dahulu. Ia juga perlu kepada pembuktian secara zahir, sebagaimana firman Allah SWT:

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.’” (Surah Aal-Imran: ayat 31)

Alangkah kecewanya kita apabila kita seseorang yang kita cintai mendustakan cinta kita. Betapa remuk redamnya hati, tatkala kita mendapati cinta kita selama ini hanyalah palsu semata-mata.

Namun, yang lebih mengecewakan, malah lebih menggerunkan, apabila kita mempersembahkan cinta yang palsu kepada Allah, Rasul-Nya dan manusia. Dan cinta palsu itu pula dibalas dengan azab seksa yang pedih tidak terperi di akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan